Monday, October 25, 2010

Daging Korban Untuk Orang Kafir

Soalan: Adakah daging korban boleh diberikan kepada orang kafir? –Ajk Masjid Wak Tanjong-

Untuk menjawab soalan di atas adalah lebih baik jika kita lihat dahulu dalil-dalil dan nas-nas dari Al-Quran dan Hadith berkenaan pembahagian daging qurban. Kemudian kita meniliti kata-kata ulama’ yang mengistinbath hukum dari nas-nas ini.

Di dalam surah Al-hajj, Allah s.w.t berfirman:

28. Dengan Yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang Yang susah, Yang fakir miskin.


36. dan berilah (bahagian Yang lain) kepada orang-orang Yang tidak meminta dan Yang meminta

Dan Rasulullah s.a.w bersabda:

((كلوا وتصدقوا وادخروا))

"Kamu makan, kamu berikan kepada yang lain dan kamu simpan" - [Hadith riwayat al-Bukhaari].

Maka kita lihat dari dalil-dalil di atas, daging korban boleh di-:

1)Makan (Oleh pelaksana korban & ahli keluarganya)

2)Disedekahkan/berikan kepada orang (tidak dihadkan kepada yang Islam atau bukan Islam)

3)Simpan (Untuk kegunaan lain selain dijualkan)

Merujuk kepada soalan adakah daging korban boleh diberikan atau kita menjamukan orang kafir, kita lihat di situ tiada ditentukan bahawa daging korban harus disedekahkan atau dihadiahkan hanya kepada orang Islam sahaja. Terpulang kepada pelaksana korban untuk memberi daging korban yang disembelihnya. Untuk menguatkan lagi pendapat ini, saya mengemukakan komentar Dr.Abdullah AL-Faqih:

Tidak ada masalah untuk memberi orang kafir dan diantara mereka juga termasuk orang miskin dan fakir, kaum keluarga, jiran atau mana-mana komposisinya, kerana nabi saw bersabda didalam sebuah hadith yang dipersetujui oleh semua (al-Mutafaq) yang diriwayatkan oleh Asmaa' bt Abu Bakar Al-Sidiq ra : "Anda kekalkan hubungan yang baik dengan ibu anda", telah maklum bahawa ibu Asmaa' adalah seorang kafir Quraish yang tidak beriman." [sumber : http://www.islamweb.net/php/php_arabic/ ... on=FatwaId

Syeikh ibnu Uthaimin(bekas Mufti Saudi) didalam fatwanya berkata:

"Adalah dibolehkan untuk memberi orang kafir daging korban atas nama sedekah selama mana orang kafir ini bukan dari kalangan mereka yang membunuh orang Islam. Jika mereka adalah salah seorang yang membunuh orang Islam maka tidak boleh diberikan mereka apa-apa, sebagaimana firman Allah swt :-

'Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.' [Surah : al-Mumtahanah 8-9]". - [Fataawa al-Shiekh Ibn Utsaimin, 2/663]

Memandangkan yang bertanya adalah para Ahli jawatankuasa Masjid Wak Tanjong yang ingin menjamu non-muslims ketika aktiviti ibadah korban tahun ini, maka saya mencadangkan agar para ajk yang terlibat dengan aktiviti korban mengambil perhatian di atas beberapa scenario yang mungkin berlaku:

1) Pastikan dahulu bahagian daging yang ingin dimasak dan dijamukan kepada tetamu-tetamu non-muslims itu. Siapa pelaksana yang dimasak daging korbannya dan pastikan si pelaksana tahu bahawa dagingnya itu dimasak untuk dijamukan tetamu-tetamu ini. Jika si pelaksana itu mendermakan sebahagian dari daging korbannya untuk masjid, lebih baik dimaklumkan kepada pelaksana yang menderma.

2) Pastikan non-muslims yang datang tidak turut serta dalam barisan pengagihan daging korban bagi kaum muslimin kerana majoriti yang beratur adalah orang awam & tidak semua individu Muslim di singapura tahu bahawa Islam membenarkan pemberian daging korban kepada orang bukan Islam. Mungkin timbul kekecohan dari golongan muslim sendiri yang mungkin tidak dapat bahagian mereka memandangkan kuantiti daging korban adalah terhad.

3) Akhir sekali untuk mengelak kekecohan juga seperti yang disebut di atas pihak ajk harus pastikan kaum Muslim terlebih dahulu mendapatkan daging korban, kemudian barulah boleh diteruskan acara untuk menjamu non-muslims seperti mana yang dirancang.

Wallahu Musta’an

No comments: